Saturday, June 9, 2007

Tulila: Muzik Bujukan Mandailing


Title/Judul : TULILA: MUZIK BUJUKAN MANDAILING
Publisher/Penerbit : Areca Books, Penang, Malaysia
Author/Pengarang : Edi Nasution
First Edition/Cetakan Pertama, June 2007
Pages/Tebal : 202
Bibliography : pg/hlm 161
Index : pg/hlm 173
ISBN 978-983-42834-4-5

Price/Harga: RM 40/Rp. 100,000

Sekapur Sireh (Kutipan/Petikan)

Di Nusantara alak (orang) Mandailing boleh ditemui di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Tanah leluhur mereka terletak di pedalaman pesisir barat daya pulau Sumatra. Mereka memiliki berbagai genre muzik tradisional yang saat ini mulai terancam punah. Salah satu muzik tradisional orang Mandailing yang mulai hilang dari kehidupan mereka adalah tulila yang menjadi bagian penting dalam tradisi markusip (mangkusip).

Dalam tradisi markusip, teruna dan gadis sunti berkencan pada larut malam di bagas padoman, asrama tempat tinggalnya anak gadis itu. Untuk memikat hati si gadis, teruna mendendangkan muzik tulila menggunakan alat tiup bambu yang diperbuat dengan tangannya sendiri. Selain tulila, alat muzik seperti sordam dan genggong juga digunakan untuk kegiatan markusip.

Muzik tulila diselang-seli dengan ende-ende (pantun) yang menggunakan hata andung (bahasa sastera). Ini diikuti dengan pembicaraan secara halus atau berbisik antara pemuda dan anak dara meluahkan rindu rendam dan rasa cinta.

Tradisi markusip terancam punah kerana pandangan bahawa warisan leluhur mereka dan adat-istiadat lama dilihat sebagai sesuatu yang kuno, kolot (ketinggalan zaman) dan tidak lagi memberi manfaat nyata bagi kehidupan sosial-budaya mereka sekarang. Proses Islamisasi tidak sedikit memberi saham pada merosotnya seni budaya Mandailing. Seperti hilangnya acara mangandung (meratap) dalam upacara kematian kerana dikatakan dilarang oleh ajaran Islam, yang menjadi anutan hampir semua orang Mandailing. Semua ini adalah kerana tanggapan salah bahawa segi-segi tertentu adat Dalian Na Tolu itu berlanggaran dengan agama Islam.

Sebenarnya, istilah adat itu sendiri datangnya dari tradisi Islam yang mencakupi urf’ (kebiasaan) sekaligus terangkum dalam kerangka hukum-hakam Islam. Adat yang dulunya melarang berpacaran secara terang-terangan seperti sekarang itulah yang telah melahirkan tradisi markusip di Mandailing dan sebagai akibatnya mengilhamkan permainan tulila itu sendiri.

Pada gilirannya tegahan mangandung pula menjejaskan tradisi ende-ende (berpantun) di mana penggunaan hata somal (bahasa harian) menggantikan hata andung (bahasa sastera) dalam kegiatan berbalas pantun dalam budaya markusip. Tradisi berpantun sudah juah berkurangan sekarang ini. Komunikasi antara muda-mudi kini lebih banyak dilakukan melalui surat-menyurat, email, sms atau berhadapan secara langsung.

Malahan tradisi markusip belakangan ini diganti oleh marmayam (picnic), berpasangan pemuda dan gadis, lebih-lebih lagi bila hari libur. Dilihat dari kacamata gender ini adalah kerana anak gadis tidak lagi dianggap sebagai 'barang pajangan' (pingitan) seperti pada zaman nenek moyang kita, yang tidak bisa leluasa keluyuran (pergi ke mana-mana tanpa tidak tentu tujuannya). Perubahan ini terjadi kerana, antara lain, pengaruh pendidikan, teknologi komunikasi, media massa, dan melonggarnya norma-norma etika pergaulan muda-mudi hari ini. Di samping modernisasi melonggarkan norma-norma etika, modernisasi prasarana komunikasi dan pengangkutan mencetuskan kelajuan mobilitas sosial yang memungkinkan muda-mudi bersua muka, baik di kampung sendiri, di poken mahupun di kota seperti Panyabungan dan Padangsidimpuan.

Ada yang lucu tentang beransur hilangnya tradisi marksuip di Mandailing menurut sahabat saya antropolog Drs. Zulifli B. Lubis. Masuknya listrik ke pendesaan Mandailing di era modernisasi menyebabkan tradisi markusip itu tidak bisa lagi bertahan kerana rumah-rumah penduduk sudah terang benderang sepanjang malam, jadi tidak lucukah seorang pemuda mangkusip di bawah sinaran lampu di sudut rumah di mana sang gadis tidur? Kedua, lucunya pada bahan binaan. Banyak bangunan rumah di Mandailing yang dulu berdinding buluh bambu (gogat) atau papan, sekarang terbuat dari simen, jadi tidak bisa lagi membuat lubang di dinding buat pangusipan. Kesimpulannya teknologi baru seperti elektrik dan pembinaan menghambat tradisi markusip berundar dari perkarangan Mandailing. Selain itu juga tradisi anak-anak tidur di bagas padoman sudah jauh berkuragan di Mandailing; mereka ramai yang tidak di rumah sendiri!

Mengingatkan betapa besarnya perubahan yang telah terjadi pada berbagai aspek kehidupan masyarakat Mandailing sekarang ini dari Perang Padri (1821-1837), zaman kolonial Belanda, Pendudukan Jepun (1941-1945), revolusi kemerdekaan sampai berdirinya Republik Indonesia, boleh dikatakan mustahil untuk 'menghidupkan kembali' muzik tulila dalam konteks tradisi markusip.

Apalagi muzk tulila tidak mempunyai status dan peran penting dalam adat dan ritual orang Mandailing sehingga mereke memandang tulila hanya sebagai muzik dan instrumen biasa malah bersifat duniawi dan nafsu-nafsi, manakala markusip dianggap privat (pribadi) dan tabu dibicarakan umum.

Edi meramalkan muzik tulila dan tradisi markusip akan punah sama sekali menjelang 2010. Ini bererti suatu kesenian yang terpancar dari roh kreativitas orang Mandailing akan terhapus. Persoalannya apakah yang akan menggantikannya?

Apakah budaya tradisional yang terbit dari adatnya orang Mandailing masa silam tidak wajar lagi dipakai? Apakah pada zaman Islamisasi, Islam baku dan Islam sejagat ia dianggap kurang Islam atau tidak Islam? Kalau jawapannya Ya, maka kesenian Mandailing pasti akan digantikan dengan budaya kuning Barat dan/atau budaya Arab yang disama-ertikan dengan Islam.

Punahnya muzik tulila dan tradisi markusip bersamaan lenyapnya segi-segi lain pada budaya Mandailing dalam arus globalisasi akan membawa kepada cultural poverty (kemiskinan kultural). Apabila tanda-tanda (marker) keMandailingan itu terhakis dan kemudiannya terhapus, sudahnya Mandailing itu sendiri akan lenyap di muka bumi ini, tenggelam lemas dalam kerakusan budaya negara-bangsa, serantau dan global.

Begitupun, upaya untuk mencatat, mendokumentasikan dan merekonstruksi budaya muzik sesuatu kelompok etnik dalam konteks studi etnomuzikologi perlu dihargai. Upaya seperti ini bisa menggali dan menemukan kembali nilai-nilai estetika muzik tradisional milik bangsa Mandailing. Buku berjudul Tulila: Muzik Bujukan Mandailing, yang terbentang pada tangan anda sekarang ini merupakan sebagian dari upaya itu.

Buku ini adalah hasil penelitian lapangan untuk menyelesaikan studi program strata satu (S1) di Jurusan Etnomusikologi, Fakultas Sastra, Universitas Sumatera Utara (USU) pada tahun 1995. Ini adalah julung-julung kali kajian dibuat tentang muzik tulila iaitu muzik bujukan Mandailing. Dalam penelitiannya, Edi menggabungkan pendekatan etnomuzikologi dan antropologi budaya.

Bertitik-tolak dari keberadaan budaya muzik tulila dan tradisi markusip dari dahulu sampai sekarang di kalangan muda-mudi Mandailing, buku ini menghuraikan seluk-beluk kegiatan budaya tersebut termasuk pembelajaran pembuatan tulila dan markusip dalam ruang lingkup kebudayaan Mandailing seadanya. Edi merincikan muzik tulila dengan memakai nota-nota muzik tulila dan notasi lagu untuk mengenal-pasti bentuk dan melodi lagu asmara dana. Sketsanya Erni Zulfan Rangkuti, seorang etnomuzikologis membantu memberi gambaran kegiatan tulila dan markusip di mana ketiadaan foto mengisi kekosongan itu.

Untuk menyiapkan skripsinya, Edi melakukan penelitian di 18 desa di Mandailing Julu dan Mandailing Godang, menemu-bual 70 informan dari pelbagai marga, para gadis dan pria yang terlibat dalam kegiatan markusip, termasuk warga-warga huta (desa) yang sudah berumah-tangga baik lelaki mahupun perempuan yang pernah ber-markusip pada waktu mereka remaja dahulu, termasuk tokoh-tokoh budayawan Mandailing. Edi juga melihat variasi dan persamaan dalam budaya tulila dan markusip di antar Mandailing Julu dan Mandailing Godang.

Edi menunjukkan bahawa muzik tulila memimik alam, mahupun bisikan serangga, nyanyian burung atau desiran angin. Pembuatan dan permainan tulila adalah kegiatan yang menuntut ilmu, kesenian dan ketrampilan. Lebih jauh dari itu muzik tulila menjadi cerminan peribadi, falsafah, kebudayaan dan wacana hidup orang Mandailing. Dengan terpinggirnya muzik tulila bersamanya tersisih pula sisi-sisi tertentu watak keMandailingan...

Abdur-Razzaq Lubis