Thursday, June 21, 2007

Syeikh Juned Tola: Berjasa di Mandailing dan di Semenanjung

Syeikh Juned Tola

Di Padang Rengas pengajian pondok telah dikenali sejak tahun 1850-an, yang didirikan oleh seorang ulama yang lari dari pulau Jawa kerana menentang sistem kultur (sistem tanaman paksa) yang dikuatkuasakan oleh penjajah Belanda di pulau itu. Namanya Haji Abdul Manan. Beliau berasal dari Pesantren Ambal. Dalam usahanya ini beliau disokong oleh Tok Paduka Abdul Latif, seorang pembesar jajahan Kerian.

Usaha beliau ini kemudian dilanjutkan oleh anaknya, Haji Nur. Kemudian digantikan oleh menantunya Haji Saleh. Apabila Haji Saleh meninggal dunia, maka pengajian pondok di Padang Rengas terhenti untuk seketika, sebab tidak ada tokoh yang dapat meneruskan usaha pengajian ini. Sampailah Syeikh Juned kemudiannya datang dan mengajar di Padang Rengas.

Kelahiran

Syeikh Juned dilahirkan pada tahun 1897 di Tarlola, sebuah kampung kecil termasuk daerah Maga, Kota Nopan, Kabupaten Tapanuli Selatan di wilayah Sumatra Utara, Indonesia. Beliau termasuk puak Mandailing dengan marga (clan) Rangkuti. Nama asal beliau ialah Simanonga.

Pendidikan

Pendidikan awal beliau ialah sekolah desa (sekolah rendah tiga tahun) di kampung Maga. Beberapa tahun kemudian beliau berpindah ke Tanah Deli (di Sumatra Utara bahagian Timur), untuk kemudiannya pergi ke Besilam (Babussalam), Langkat. Besilam dikenali sebagai sebuah pusat tarikat Naqsyabandi. Pemukiman itu diasaskan oleh Syeikh Abdul Wahab Rokan.

Di Besilam beliau memulai pengajian agamanya. Sebab kesungguhan beliau menuntut ilmu, beliau disayangi oleh [Syeikh Abdul Wahab]], gurunya yang memberinya nama "Juned" mengambil nama seorang ulama tasawuf yang terkenal, iaitu "Syeikh Juned al-Baghdadi".

Kemudian di belakang nama beliau ditambahkan (oleh siapa?) "Tola". Menurut suatu pendapat kata itu singkatan daripada "Tarlola", kampung kelahirannya. Namun, Datuk Haji Asri bin Haji Muda (Datuk Asri), menantu allahyarham (Wawancara: 12 Oktober 1989) tidak dapat memastikannya.

Namun, beliau masih bercita-cita hendak melanjutkan pelajarannya. Untuk itu beliau merantau ke Tanah Melayu. Mula-mula beliau berguru di Kedah di Pondok Haji Che Dol, Gajah Mati, dan kemudian disambung oleh menantunya Syeikh Ibrahim (Pak Cu Hin) dan di Pondok Haji Hussain Cik Dol di Guar Cempedak. Kemudian beliau pindah ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang, berguru dengan Tuan Haji Salleh Masri.

Oleh kerana kecerdasannya, seorang ulama di Padang Rengas membawa beliau ke kampungnya, kemudian menikahkannya dengan anak perempuannya, Sariyah binti Haji Said (1922). Tiga bulan kemudian Haji Said mengirim menantunya, Juned belajar ke Universiti al-Azhar di Mesir. Turut bersama beliau ke Mesir ialah iparnya, Haji Husin Said, dan Haji Mohd Zain Haji Noh. Menurut Datuk Asri, pada masa itu isterinya sedang mengandungkan anaknya yang pertama. Pertemuan beliau dengan puterinya yang pertama ini berlaku di Mekah.
Selama di Mesir beliau bukan hanya mencari ilmu tetapi juga berkecimpung di dalam pergerakan pelajar Indonesia-Malaya. Mesir pada waktu itu sedang bergolak menentang penjajahan. Juga sedang berkembang fahaman "pembaharuan" Muhammad Abduh-Rasyid Ridha. Hal ini menanamkan semangat menentang penjajahan, yang kelak dibawanya pulang ke negerinya.

Beliau amat tertarik dengan institusi wakaf dan pentadbirannya, sehingga mampu membiayai sebuah universiti yang besar seperti al-Azhar. Beliau amat berminat dengan wakaf. Minatnya itu kemudiannya mendorongnya untuk menulis sebuah buku kecil dengan judul Kaifiat mengadakan Wakaf, yang diterbitkan di Mesir pada tahun 1927, dengan kata pengantar oleh Syeikh Idris al-Marbawi yang terkenal di seluruh negara yang berbahasa Melayu di Asia Tenggara kerana kamus Arab-Melayunya yang dikenali dengan nama Kamus al-Marbawi. Kamus ini ialah antara kamus Arab-Melayu yang terawal. Syeikh Juned turut membantu melengkapkan Kamus al-Marbawi.

Sebelum pulang ke tanah air Syeikh Juned sempat juga belajar kepada Syeikh Abdul Kadir al-Mandili, salah seorang guru di Masjidil Haram pada ketika itu.

Dalam tahun 1926, Syeikh Juned kembali ke tanah air, bersama isterinya Sariyah Haji Said dan puteri pertamanya, Sakinah (sekarang dikenali sebagai Cik Kinah atau Datin Sakinah, isteri kepada Datuk Asri). Tidak berapa lama kemudian isterinya, Sariyah meninggal dunia. Dalam tahun 1927, beliau mengahwini seorang lagi puteri Haji Said, bernama Siti Hajar Haji Said. Dalam tahun 1934, beliau mengahwini lagi seorang isteri di Tapanuli Selatan bernama Rokiah Haji Ibrahim.

Pengajian pondok

Dalam tahun 1927, beliau telah mewujudkan suatu kelas pengajian di sebuah surau dekat rumahnya di Kampung Lalang, Padang Rengas. Pelajar terdiri daripada penduduk Kampung Lalang dan kampung di sekitarnya di dalam kawasan Padang Rengas. Ada bahagian untuk anak-anak dan ada bahagian untuk orang dewasa. Pengajian ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat kaum muslimin setempat. Kemudian pelajar dari luar Padang Rengas berdatangan, seperti dari Temoh, Teluk Intan, Bagan Serai, dan Parit. Memandangkan para pelajar semakin ramai, maka didirikanlah pondok penginapan. Tok Maharaja Indera Haji Syukri mewakafkan sebidang tanah untuk tapak pondok-pondok penginapan itu. Juga beliau mendapat sokongan daripada Haji Abdul Rahim yang di gelar Datuk Panglima Garang, Ketua Kampung Lalang pada ketika itu. Beliau juga mendapat bantuan daripada beberapa tokoh yang mendapat didikan agama di Timur Tengah dan juga daripada madrasah tempatan. Ke dalam kelompok ini termasuklah nama-nama Haji Usman Ahmad, Haji Abdul Aziz Yaakub, Haji Said, Haji Kasim, Haji Anjang Ahmad, dan Haji Ismail Moin. Juga beliau mendapat sokongan daripada Haji Mohd. Zain Abd. Majid, Haji Mohd Zain Noh, dan Abu Bakar. Daripada sebuah pengajian kampung dengan pesatnya ia berkembang menjadi sebuah pengajian pondok yang mendapat sambutan ramai daripada masyarakat Islam negeri Perak. Padang Rengas sekali lagi mengambil tempatnya sebagai pusat perkembangan pengetahuan Islam menyambung institusi pesantren yang dahulunya telah didirikan oleh Haji Abdul Manan.

Didesak oleh sambutan yang hangat terhadap pengajian pondok Syeikh Juned, maka dalam tahun 1930 didirikan sebuah Madrasah Arabiah Kampung Lalang. Sekolah ini terus berkembang pesat. Keadaan ini mendorong berdirinya sebuah madrasah yang lebih lengkap dan lebih teratur, dalam tahun 1931 dengan nama Madrasah Yahyawiah untuk mengambil alih tempat Madrasah Arabiah. Nama Yahyawiah diambil daripada nama Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, iaitu Datuk Andika Mior Yahya Mior Syamsuddin yang menjadi penaung madrasah itu yang telah memberikan sumbangan derma.

Oleh desakan yang kuat daripada masyarakat muslimin untuk membina suatu pengajian yang berasingan bagi pelajar perempuan, maka Syeikh Juned menaja pendirian sebuah lagi madrasah yang khas untuk pelajar puteri. Beliau sesungguhnya ingin memberi peluang yang sama kepada kaum perempuan untuk mendapat pelajaran. Semangat anti penjajahan yang ada di dalam dirinya tidak mengizinkan anak-anak muslim bersekolah di sekolah kerajaan yang mendidik mereka menjadi hamba British. Puteri-puteri beliau sendiri, Sakinah Syeikh Juned dan Habibah Syeikh Juned dihantar belajar ke Indonesia di Sekolah Diniah Puteri, Padang Panjang, Sumatera Barat, sebuah sekolah agama yang mengikuti aliran pembaharuan. Dan nama ini, Diniah Puteri , kemudian diambilnya untuk menamai madrasah puteri yang baru didirikan itu. Madrasah itu dirasmikan dalam tahun 1935.

Idea pembaharuan

Madrasah ini mendukung idea pembaharuan. Sekolah ini adalah madrasah pertama di Perak yang mendukung idea Islah . Oleh sebab pendirian "pembaharuannya", ia sering dikunjungi oleh tokoh-tokoh pembaharuan Islam, terutama oleh Syeikh Tahir Jalaluddin yang juga sahabat karib kepada Syeikh Juned. Di dalam madrasah ini pelajarnya bukan hanya ditumpukan kepada pengetahuan agama Islam tetapi juga meliputi pelajaran dan latihan kemahiran yang boleh dipergunakan untuk menampung keperluan hidup duniawi. Kepada murid juga diajarkan membuat kicap, kacang masin, bersawah, berkebun, membuat terompah (bagi pelajar lelaki-Yahyawiah) dan menjahit (bagi pelajar wanita-Diniah Puteri).

Pelajar yang semakin ramai mendorong masyarakat Islam di sekitar Padang Rengas untuk mendirikan madrasah seperti itu di kampung-kampung lain. Maka berdirilah cawangan Madrasah Diniah dengan nama yang berbeza tetapi dengan isi yang sama di berbagai-bagai tempat, seperti Madrasah al-Ridzuaniah di Padang Asam, Madrasah al-Falahiah di Kampung Buaya, Madrasah al-Nasriah di Padang Rengas, Madrasah al-Ijtihadiah di Kampung Gapis, Madrasah al-Hadi di Kampung Pauh, Madrasah al-Bakariah di Paya Lintah, Madrasah al-Zahiriah di Kampung Keruh Hilir, Madrasah al-Iqtisadiah di Kampung Keruh Hulu, dan Madrasah Sabiyah al-Ahmadiah di Kampung Laneh.

Pembaharuan Syeikh Juned mempunyai wajah lain jika dibandingkan dengan pembaharuan di Perlis. Jika Perlis banyak menumpukan perhatian kepada masalah khilafiah dan sunnah atau tidak sunnah, terutama di dalam ibadah, maka Syeikh Juned bertumpu pada pembangunan mental dan sikap. Beliau menekankan bagaimana semestinya seorang muslim itu berfikir, berjuang, dan berekonomi. Beliau tidak memilih jalan konfrontasi, meskipun beliau juga menentang bidaah, dan khurafat. Beliau lebih mengutamakan hikmah dan mauizah yang baik. Sebab itu beliau tidak menimbulkan ketegangan sosial.

Di sekolah yang ada di bawah bimbingannya, bukan hanya ilmu agama yang diajarkan, tetapi juga cara hidup yang baik secara berdikari. Menurut Datin Sakinah Syeikh Juned , Syeikh Juned sering mengingatkan masyarakat Islam dan pelajarnya: "Bagaimana kita hendak merdeka jika kita tidak sanggup berdikari dalam kehidupan kita".

Sebab itu beliau sentiasa menghidupkan semangat berdikari itu dalam kalangan pelajarnya, sesuai dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Menurut beliau ekonomi umat Islam hanya dapat dibina jika mereka sanggup berdikari tanpa mengharapkan bantuan daripada orang bukan muslim. Kekuatan politik juga dapat ditegakkan jika ekonomi kuat.

Dengan menggalakkan umat Islam mewakafkan tanah dan harta, beliau berusaha untuk mewujudkan ekonomi Islam atas dasar bersama dan bantu membantu antara satu dengan lain. Di atas tanah yang diwakafkan, beliau telah mengambil inisiatif untuk memajukannya dengan menanam sayur-sayuran, buah-buahan, dan sebagainya. Beliau sendiri menunjukkan kepada pelajarnya teknik pertanian yang betul. Dari segi industri dan ekonomi beliau mempelawa beberapa orang pembatik dan pembuat terompah supaya datang ke [Padang Rengas]] dan membuka perusahaan di sini. Dan sebagai hasil daripada usaha ini, maka di Padang Rengas sendiri pada penghujung tahun tiga puluhan terdapat lebih kurang 30 buah kedai yang semuanya kepunyaan orang Melayu, terdiri daripada kedai kopi, kedai dobi, kedai getah, kedai runcit, kedai gunting rambut, dan lain-lainnya.

Kesan usaha ini menanamkan ke dalam jiwa dan semangat orang Islam percaya kepada diri sendiri dan keyakinan bahawa mereka juga boleh melakukan sebarang pekerjaan yang selama ini dikuasai oleh orang bukan Islam, asal saja ada kemahuan dan ada kesungguhan.

Kesan yang ketara pada masa itu, jumlah orang Melayu yang membeli di kedai Cina tidak sampai 20 peratus. Itu pun mereka lakukan apabila barang yang diperlukan itu kebetulan tidak ada di kedai Melayu. Bahkan orang Melayu telah berasa malu membeli di kedai Cina. Hal ini semua boleh berlaku berkat kejayaan pimpinan ulama dan tokoh yang bercita-cita pembaharuan Islam.

Pengaruh

Bahkan lompatan ke depan daripada kelompok Padang Rengas ini semakin jauh ke muka. Ia telah menyentuh aspek perjuangan politik untuk memerdekakan tanah air daripada penjajahan British . Pada penghujung tahun 1940-an, pondok di Madrasah ad-Diniah itu menjadi tempat berkumpul pejuang Melayu menentang penjajahan. Bahkan pekarangan Madrasah ini selalu dijadikan gelanggang latihan berkawad ahli-ahli Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang merupakan sebahagian daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Madrasah ad-Diniah Padang Rengas ini kadang-kadang dilawati oleh tokoh pimpinan Kesatuan Melayu Muda (KMM) seperti Majid Sabli dan Pakcik Ahmad. Kadang-kadang juga kader-kader komunis seperti Rashid Maidin dan Syamsiah Pakeh datang berkunjung ke sekolah ini dan memberi ceramah tentang keburukan feudalisme dan penjajahan.

Peningkatan kesedaran politik dalam kalangan para pelajar dan pemuda kampung itu nampaknya didorong oleh pengaruh guru-guru Madrasah tersebut.

Beberapa orang guru kelulusan beberapa buah sekolah di Indonesia, sama ada orang dari luar atau anak tempatan sendiri mengajar di Madrasah ini. Demikianlah beberapa nama yang disenaraikan di bawah ini ialah guru-guru yang mendapat pendidikan di Indonesia: Aisyah Ghani, Abdul Kadir dari Sulawesi , Darwis , Syahrom Syeikh Muhammad, Kalsum, dan Sakinah Syeikh Juned. Mereka ini adalah kelulusan berbagai-bagai madrasah dari aliran pembaharuan di Indonesia.

Menurut Datuk Asri, Syeikh Juned menganut akidah yang sederhana, tidak berliku-liku dan berbelit-belit. Selain Padang Rengas, Syeikh Juned juga mengajar di tempat-tempat lain di negeri Perak. Beliau menentang perkara khurafat. Beliau tidak pernah menyuruh orang menghafaz Sifat Dua Puluh. Di dalam fikah juga beliau bersifat sederhana. Meskipun beliau menganut aliran pembaharuan yang hendak kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah, namun beliau tidak membezakan orang yang berusalli dengan yang tidak berusalli. Beliau mengajarkan solat kepada orang yang baru belajar sembahyang adalah dengan cara yang sederhana. Biarlah orang itu mengerjakan salat mengikut cara yang disanggupinya terlebih dahulu.

Semangat kemerdekaan memang telah tertanam di dalam darah daging Syeikh Juned. Dalam setiap ucapannya ia menyebut kemerdekaan dan menggalakkan umat untuk berjuang mencapai kemerdekaan.

Beliau meramalkan bahawa pada zaman kemerdekaan kelak motokar akan masuk ke dalam bendang. Pada masa itu orang tidak memahami makna ramalannya itu. Sekarang barulah orang tahu, setelah melihat mesin bermotor masuk membajak sawah. Beliau juga membuat lesung kincir yang digerakkan oleh tenaga air. Hal ini banyak menolong petani menumbuk padi.
Mokhtar Lintang, seorang tokoh yang disegani yang pernah menjadi pensyarah di UKM ialah murid kepada Syeikh Juned. Allahyarham Syeikh Juned ialah tokoh yang pandai bergaul dengan segala peringkat dan golongan masyarakat. Bahkan dengan ahli polis yang berseluar pendek juga beliau mempunyai hubungan yang baik, meskipun seluar pendek itu termasuk pakaian yang tidak menutup aurat. Hubungan beliau dengan pihak istana juga baik.

Cara pengajaran di madrasah yang terletak di bawah pengawasan Syeikh Juned adalah lebih moden daripada sistem pondok, meskipun belum sampai ke tahap sekarang ini. Dalam pembaharuan sistem pendidikan Islam ini beliau juga mengikuti ajaran dan teladan Muhammad Abduh di Mesir.

Palestin

Masalah Palestin adalah menjadi perhatian beliau yang serius. Beliau mengumpulkan derma di sini dan mengirimkannya ke sana. Antara sifatnya yang menonjol ialah qanaah, sederhana, dan memadakan yang ada. Dan amalan yang paling baik bagi beliau ialah berwakaf. Di semua tempat beliau menggalakkan kaum muslimin untuk berwakaf. Agaknya beliau tertarik dengan sistem wakaf di Mesir, yang bahkan dapat menghidupkan sebuah universiti yang besar, yakni Universiti Al-Azhar. Di kampung asalnya di Tapanuli Selatan, beliau mendirikan sekolah dan pengajian agama daripada harta waqaf. Dan beliau juga menggalakkannya di Padang Rengas.
Memanglah wakaf merupakan suatu institusi yang amat digalakkan dalam ajaran Islam.

Menurut Datuk Asri ada juga diceritakan tentang "karamat" beliau; namun usahlah perkara itu dibesar-besarkan. Demikianlah misalnya, pada suatu ketika beliau jatuh pengsan beberapa hari lamanya, namun beliau tidak sakit apa-apa. Beberapa ketika kemudian diterima telegram dari Palestin, menanyakan apakah beliau sudah sampai kembali dari Palestin.

Diusir Belanda

Beliau pernah diusir oleh Ketua Kampung-nya di Tapanuli Selatan atas arahan pihak berkuasa Belanda kerana dicurigai menentang penjajahan Belanda, beliau mengatakan: "Ketua kampung itu kelak akan mengalami nasib yang luar biasa". Tidak berapa lama kemudian ketua kampung itu menyembelih dirinya sendiri. Wallahualam.

Kematiannya

Syeikh Juned Tola meninggal dunia pada hari Selasa, 10 Mac 1948. Ada sangkaan bahawa kematian beliau disebabkan termakan racun. Jika benar demikian, meskipun beliau tidak mencari lawan, namun setiap perubahan baru mesti ada penentangnya. Dan beliau sebagai seorang pembaharu tentulah pula mendapat tentangan keras. Jenazahnya dikebumikan di hadapan Madrasah Al-Junidiah di kampung kelahirannya di Tapanuli Selatan. Walaupun beliau telah pergi, namun harta wakaf yang beliau tinggalkan terus berkekalan dan terus memberikan sumbangan kepada umat Islam. Dalam sejarah hidupnya Syeikh Juned melambangkan seorang ulama yang peka terhadap persekitarannya. Realiti masyarakat pada waktu itu memerlukan pembasmian kejahilan, pembinaan ekonomi ummah dan pembebasan daripada cengkaman penjajahan. Beliau cuba menggerakkan bangsanya supaya mampu berdikari dan dihormati seperti yang dituntut oleh Islam. Syeikh Juned ialah seorang ulama tetapi kesedaran ekonomi, politik, dan pendidikan yang beliau tanamkan kepada pelajar dan masyarakatnya akan terus meletakkannya sebagai seorang ulama, yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Syeikh Juned telah menunjukkan sisi yang lain daripada Pembaharuan Islam yang melingkupi semua aspek kehidupan manusia itu. Tekanan beliau tidak ke atas perbezaan dalam soal furu'. Beliau tidak menonjolkan perbezaan anggapan tentang Sifat Dua Puluh, usalli, qunut, dan sebagainya. Beliau lebih menujukan perhatiannya kepada pembaharuan mental, ekonomi, pendidikan, dan politik. Beliau ingin memanfaatkan institusi Islam yang selama ini diabaikan orang seperti wakaf dan khidmat masyarakat. Walau bagaimanapun, beliau tidak menyukai perkara bidaah dan khurafat. Beliau ingin mengembalikan umat Islam kepada Islam yang sebenarnya, yang berpegang kepada al-Quran dan al-Hadis.

Mungkin beliau tidak meninggalkan sesuatu yang nyata. Beliau tidak menegakkan monumen untuk dirinya. Sekolah yang telah didirikannya itu pun dewasa ini serupa sekolah biasa, tidak ada keistimewaannya pada masa kini. Namun, beliau telah menjadikan perjuangannya sebarisan batu-bata di dalam mendirikan suatu bangunan umat Islam yang kuat dan menjadi pendukung Malaysia merdeka. Beliau telah menanamkan rasa harga diri kepada umat Islam. Beliau telah membangunkan semangat berdikari dalam hati umat Islam. Beliau telah menunjukkan bahawa kaum muslimin juga mempunyai kemampuan yang sama dengan bangsa-bangsa lain untuk menyusun kehidupan yang lebih baik di dunia ini. Beliau telah menanamkan semangat merdeka, dan bahawa kemerdekaan dalam politik dan ekonomi adalah matlamat Islam untuk umatnya.

Itulah dia jasa dan peranan Syeikh Juned Tola di dalam pembaharuan dan kebangunan umat Islam Malaysia. Beliau memang tidak mempunyai monumen untuk dirinya. Namun banyak yang ditinggalkannya kepada bangsanya yang terdiri daripada nilai yang berharga untuk menyongsong kebangunan baru umat Islam.

Diperolehi daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Syeikh_Juned_Tola"