Sunday, July 8, 2007


Haji Abdullah Abbas Nasution seorang ulama yang juga giat berdakwah menerusi bidang penulisan.

Haji Abdullah Abbas Nasution

Haji Abdullah Abbas Nasution lahir di Langgar, Alor Star, Kedah pada 1 Mac 1912. Haji Abdullah mendapat pendidikan awal daripada bapanya hingga meningkat usia 10 tahun. Selepas itu, barulah beliau memasuki Sekolah Melayu Langgar pada tahun 1920. Pada tahun 1923, beliau menyambung pelajarannya di sekolah pondok (Arab) di Pulau Pinang dan di Jitra, Kedah.

Pada tahun 1928, beliau meneruskan pengajiannya di Pondok Tok Kenali di Kota Bharu, Kelantan dan kemudian berpindah belajar di Maahad Muhammadi, Kota Bharu hingga tahun 1936. Akhir sekali, beliau belajar di pondok Ahmadiyah Bunut Payong, Kota Bharu pada tahun 1937 hingga tahun 1940. Selepas itu, beliau kembali ke sekolah pondok di Pulau Pisang, Jitra sebagai guru dan kemudiannya berpindah pula ke Pondok Haji Muhsin, Titi Besi, Kepala Batas. Pada akhir tahun 1940, Haji Abdullah Abbas Nasution membuka sebuah sekolah perguruan agama yang dikenali sebagai Madrasah Maahad Ehya Al-Ulum Ad-Diniah di Tanjung Pauh, Jitra. Madrasah ini menyediakan matapelajaran Pendidikan Agama Islam, Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Pada tahun 1940 hingga tahun 1967, Madrasah Maahad Ehya AI-Ulum Ad-Diniah telah melahirkan kira-kira 4000 orang murid yang masing-masing diasaskan dengan pendidikan Islam.

Selain daripada mengajar, Haji Abdullah Abbas Nasution juga seorang ulama yang giat berdakwah menerusi bidang penulisan. Kegiatannya dalam bidang itu bermula sejak awal tahun 1930-an lagi. Pada tahun 1933, Haji Abdullah mula berlatih menjadi penulis sambilan di akhbar. Waktu itu beliau masih belajar di Kota Bharu, Kelantan iaitu di Pondok Tok Kenali. Dalam bidang penulisan, Haji Abdullah sering menggunakan nama samaran A.A. Pilpisani, AAN dan lbnil Arabi. Tulisannya yang sering mengimbau kepada persoalan agama itu kerap tersiar dalam akhbar Saudara, Warta Malaya di Singapura dan Sahabat di Pulau Pinang. Selain rencana agama, Haji Abdullah pernah menulis berita biasa untuk akhbar-akhbar itu. Antara bahan berita yang pernah ditulisnya termasuklah kejadian mencuri ayam, orang bergaduh dan cerita jenayah.

Haji Abdullah kemudiannya beralih kepada bidang menterjemah kitab agama daripada Bahasa Arab ke Bahasa Melayu. Antara usaha penterjemahannya yang awal ialah menterjemah kitab Tarbiah Al-ljtimaiah (Hal Ehwal Kemasyarakatan), Tarbiah Al-Wataniah (Sains Politik Mesir) dan beberapa kitab lain. Di samping menterjemah, beliau juga telah mengarang beberapa buah kitab seperti Sejarah Melayu Raya yang mencatatkan sejarah orang Melayu dari zaman Sri Vijaya dan kedatangan Islam ke Asia Tenggara. Pada tahun 1940, Haji Abdullah Abbas Nasution memulakan kerja menterjemah al-Quran al-Karim yang dicetak pada tahun 1959. Beliau juga telah menulis huraian tafsir al-Quran yang dapat disiapkannya dalam tempoh lapan tahun. Secara keseluruhan, sejak tahun 1933 hingga 1980, Haji Abdullah Abbas Nasution telah menulis dan menterjemah kira-kira 100 buah kitab dan risalah yang menyentuh pelbagai maudhuk. Kebanyakan daripada kitab-kitab itu adalah mengenai Islam, termasuklah kebudayaan dan sejarahnya. Beliau juga menulis tentang sejarah am Asia Tenggara. Dalam pada itu, beliau juga pernah menulis salasilah keturunan keluarganya dan beberapa buah buku ilmu pengetahuan seperti Geografi, Ekonomi, biografi hidup dirinya, Sains Politik, Sains Kemasyarakatan, pendidikan dan lain-lain lagi. Kebanyakan karya beliau ditulis dalam bentuk khat thuluth dan ada yang ditaip.

Haji Abdullah Abbas Nasution juga bergiat aktif dalam Persatuan Ulama Kedah (PUK). Pada peringkat awal penubuhan Persatuan Ulama Kedah (PUK), beliau dianggap sebagai seorang daripada penaja dan orang kuat persatuan itu. Ketika itu, beliau bertugas sebagai mudir di pondok yang dikendalikannya sendiri iaitu Maahad Ehya Al-Ulum Addiniah di Tanjung Pauh, Jitra, Kedah. Sebagai tokoh penaja PUK, Haji Abdullah didaftarkan sebagai ahli ke lapan dalam persatuan itu. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Penaja dan seterusnya sebagai Setiausaha Kehormat PUK.

Sebagai Setiausaha Penaja dan Setiausaha Kehormat PUK, beliau telah dipertanggungjawabkan menggubal sebuah undang-undang PUK yang dibentuk berpandukan undang-undang tubuh Persatuan Pinang Peranakan (sebuah pertubuhan kebajikan India Muslim di Pulau Pinang) . Haji Abdullah Abbas Nasution telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha PUK pada bulan Januari 1946 hingga 1949. Selepas setahun PUK bergerak di Alor Star (ibu pejabatnya di Maktab Mahmud), ia terpaksa dipindahkan ke Guar Chempedak kerana pada ketika itu Maktab Mahmud ialah sebuah sekolah agama kerajaan. Oleh kerana PUK merupakan sebuah persatuan bukan kerajaan, beberapa syarat tertentu telah dikenakan. Secara tidak langsung, keadaan itu sedikit sebanyak menjadi sekatan dan menghalang pergerakan PUK sendiri. Sebaliknya, pergerakan PUK di Madrasah At Taufikiah AI-Khairiah di Guar Cempedak lebih bebas kerana madrasah itu adalah sebuah sekolah agama rakyat yang tidak terikat dengan sebarang peraturan atau undang-undang pihak berkuasa. Mulai tahun 1949 sehingga sekitar tahun 1950-an, Haji Abdullah Abbas Nasution dilantik sebagai Ketua Hal Pelajaran menggantikan Syeikh Abdul Halim Othman yang merupakan Ketua Hal Pelajaran PUK yang pertama.

Dalam bidang politik, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan seperti Setiausaha Kesatuan Melayu Kedah dan Setiausaha UMNO Bahagian Kubang Pasu, Setiausaha PAS Kubang Pasu dan Kuala Nerang, Ketua Dewan Ulama PAS Kedah dan juga Jawatankuasa Pusat PAS Tanah Melayu. Selain itu, beliau pernah menghadiri pertemuan penting Kongres Kesatuan Melayu Malaya yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 Mac 1946 sewaktu menentang Malayan Union. Kehadirannya dalam pertemuan itu ialah sebagai wakil kepada PUK dan Kesatuan Melayu Kedah. Di samping itu, beliau pernah menghadiri majlis mesyuarat ulama seluruh Tanah Melayu yang berlangsung di Butterworth pada tahun 1952. Haji Abdullah bukan saja membabitkan diri dalam bidang keagamaan tetapi turut bergerak cergas dalam bidang sosial. Satu contoh pembabitan beliau ialah sebagai ahli Persaudaraan Sahabat Pena (PERSPAM). Selain itu, beliau juga merupakan tokoh pemidato yang handal. Ini dapat dilihat sewaktu beliau menyampaikan ceramah bertajuk "Riwayat dan Perjuangan Tuk Kenali" di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 21 Februari 1978. Beliau sering menghadirkan diri ke seminar-seminar yang berkaitan dengan politik, ekonomi, sejarah, pendidikan, bahasa,sastera dan kebudayaan.

Haji Abdullah Abbas Nasution telah kembali ke Rahmatullah pada 4 Januari 1987 dalam usia 78 tahun. Perjuangan Haji Abdullah dalam PUK untuk menyatupadukan umat Islam khusus di negeri Kedah adalah satu perjuangan yang meninggalkan kesan positif terhadap perkembangan Islam di seluruh negara. Oleh yang demikian, ia wajar diketahui dan dikenang oleh generasi Islam yang terkemudian.

http://www.mykedah.com/10heritage/102_4_08.htm